Merisik Adat ini juga dipanggil meninjau atau menengok. Tujuan adat ini dilakukan adalah untuk memastikan bahawa gadis yang dihajati oleh seorang lelaki itu masih belum berpunya. Ini penting, kerana dalam Islam seseorang itu dilarang meminang tunangan orang. Di samping itu, adat ini juga bertujuan untuk menyelidik latar belakang si gadis berkaitan kemahiran rumahtangga, adab sopan, tingkah laku, paras rupa serta pengetahuan agamanya. Lazimnya adat ini akan dijalankan oleh saudara mara terdekat pihak lelaki seperti ibu atau bapa saudaranya. Bagi pihak si gadis pula, terdapat beberapa kriteria yang perlu dipertimbangkan sebelum menerima lamaran pihak lelaki antaranya ialah lelaki tersebut perlulah mempunyai latar belakang agama serta mempunyai pekerjaan yang baik. Adakalanya semasa merisik, wakil lelaki tersebut akan memberikan sebentuk cincin tanya berupa cincin belah rotan dan jika pihak gadis bersetuju mereka akan menetapkan tarikh untuk peminangan. Walau bagaimanapun adat merisik jarang dilakukan lagi kerana pasangan tersebut telah berkenalan terlebih dahulu, justeru itu mereka akan terus menjalankan adat meminang untuk menjimatkan kos dan masa. Meminang Setelah diketahui bahawa gadis tersebut belum berpunya, pihak keluarga lelaki akan menetapkan hari untuk menghantar satu rombongan peminangan. Urusan peminangan akan dilakukan oleh kaum keluarga terdekat pihak lelaki. Adat ini dilakukan bagi menyatakan tujuan mereka yang sebenarnya secara rasmi. Saudara-mara kedua-dua belah pihak akan berunding untuk menetapkan tarikh dan masa yang sesuai untuk adat bertunang pula. Di samping itu, perbincangan juga akan diadakan berkenaan dengan hantaran dan jumlah rombongan yang akan datang untuk upacara bertunang untuk memudahkan pihak perempuan menyediakan persiapan semasa majlis pertunangan kelak. Bertunang Selepas perbincangan diadakan, majlis pertunangan akan dilangsungkan. Pihak lelaki akan diwakili oleh ahli keluarga dan saudara mara terdekatnya untuk upacara bertunang. Pada hari tersebut, majlis kenduri akan diadakan bersempena pertunangan tersebut di rumah pihak perempuan. Hantaran yang terdiri daripada tepak sirih atau sirih junjung sebagai bingkisan utama, sebentuk cincin beserta hantaran lain seperti bunga rampai, buah-buahan, kuih-muih, pakaian dan lain-lain yang telah digubah akan diberi kepada pihak perempuan. Mengikut adatnya juga, sekiranya pihak perempuan mempunyai kakak yang masih belum berkahwin, hantaran untuknya juga turut diberikan. Adat ini dipanggil langkah bendul. Bilangan hantaran agak unik kerana jumlahnya ganjil iaitu samada lima, tujuh, sembilan, sebelas atau tiga belas, kerana jumlah genap dikatakan memberi implikasi yang tidak baik. Jumlah hantaran yang diberi oleh pihak perempuan pula akan melebihi jumlah hantaran pihak lelaki. Adat menghantar belanja turut diadakan semasa adat bertunang ini dijalankan. Namun begitu ada juga yang menjalankannya secara berasingan daripada adat bertunang iaitu mengadakannya beberapa minggu sebelum majlis persandingan dijalankan. Upacara ini akan dimulakan dengan wakil pihak lelaki menyerahkan tepak sirih kepada wakil pihak perempuan dan menyatakan lamaran mereka secara rasmi. Pantun sering digunakan dalam upacara ini bertujuan untuk memeriahkan majlis. Setelah pertunangan diterima secara rasmi, wakil kedua belah pihak akan berbincang tentang belanja perkahwinan, tempoh pertunangan dan lain-lain hal yang berkaitan. Tempoh bertunang lazimnya dalam masa setahun ataupun mengikut persetujuan kedua belah pihak. Satu perkara yang turut dititikberatkan ialah berkenaan putus tunang. Sekiranya pihak lelaki yang memutuskan pertunangan tersebut, semua wang hantaran dan belanja yang diberi kepada pihak perempuan dikira hangus, sebaliknya jika pihak perempuan yang berbuat demikian, semua hantaran harus dikembalikan sebanyak dua kali ganda. Acara kemuncak majlis pertunangan adalah adat sarung cincin di mana wakil pihak lelaki yang terdiri dari ibu atau saudara perempuannya akan menyarungkan cincin pertunangan atau cincin tanda ke jari manis gadis yang dilamar. Setelah itu rasmilah sudah pertunangan tersebut.
Chibi Kucing Kesayangan Kami
2 weeks ago